Thursday, August 28, 2008
Kedatangan Bulan Ramadan Al-Mubarak$BlogItemTitle$>
Assalamualaikum, semoga kalian semua berada dalam rahmat Allah. Marilah sama-sama kita meminta kehadrat Allah swt mudah-mudahan kita semua disampaikan ke dalam Bulan Ramadan tahun ini yang tidak lama lagi.
Mari kita semua mengetahui sejarah dan juga kepentingan Bulan Ramadan dalam kehidupan kita seharian.
Di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
“fasting is prescribed for you as it was prescribed for those before you, so that you may become pious.”
Disambungkan selepasnya ayat 184 yang bermaksud,
“(yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu.......... dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
Ramadan adalah Bulan yang ke-9 dalam Bulan Qamariyah (Hijriyah), makna asalnya adalah ‘panas yang sangat terik’. Dinamakan demikian kerana pada ketika itu, kebiasaannya cuaca amatlah panas. Sempena dengan nama ini, maka Ramadan bererti “membakar dan melebur segala kekotoran dosa orang yang berpuasa dan menghayati bulan mulia ini dengan pelbagai ibadah yang dikhaskan dalamnya.
Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Bulan Ramadan itu ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran ialah masuk syurga.”
Dan juga daripada Abu Hurairah ra
Nabi saw bersabda,” Puasa adalah pelindung daripada neraka. Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa”.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
Dengan selesainya Ramadan, maka orang yang berpuasa dan juga yang menghidupkan bulan ini akan menjadi suci bersih, kembali kepada Fitrah (‘Idul Fitri) seperti seorang bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.
Ibadah yang boleh diamalkan pada Bulan Ramadan adalah:
1) Menunaikan Solat Terawih berjemaah
2) Mengaji atau bertadarus Al-Quran sendirian atau beramai-ramai
3) Bangun Malam, (Qiamullail)
4) Bersahur
5) Membuat amal kebajikan (mencari ilmu, membantu orang dan dll)
6) Menunaikan Zakat
7) Dan bermacam-macam amalan yang bermanfaat.
Hormatilah orang-orang yang berpuasa dan tinggalkanlah maksiat (perkara yang tidak
baik), meninggalkan kejahatan itu sedekah (berpahala).
Ringkasan mengenai RAMADAN
1) Ramadan = Ertinya “Panas Terik”
2) Bulan diturunkan Al-Quran (Nuzul Quran)
3) Didalamnya dipilih Malam Al-Qadr (Lailatul Qadr) yakni sesuatu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan= 83 tahun++
4) Dipilih untuk umat Nabi Muhammad berpuasa.
5) Dipilih untuk lain-lain ibadat.
Sebelum mengakhiri keterangan Ramadan ini, marilah sama-sama hormati bulan yang
Suci ini dan jadikan Ramadan ini, Ramadan yang terbaik. Untuk lebih mendalami Bulan
Ramadan, datanglah Kelas pada Hari Ahad ini 31 Ogos 2008 yang akan disampaikan oleh penceramah khas.
Ingatlah, Rasulullah saw bersabda, “Sekiranya umatku mengetahui tentang kelebihan
Bulan Ramadan, nescaya ia akan berhasrat sepanjang tahun dijadikan Bulan Ramadan.”
Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak!!!
Salam.
Yang Dhaif lagi Hina,
Sdr Muhd Nur Firdauz Abd Latiffuddin
Labels: Ustaz Firdauz
12:15 PM